بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
ya ikhwan wa akhwat fillah,
1) Sebelum diciptakan Nabi Adam, Allah berfirman,
Al-Baqarah
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (30)
Dari ayat di atas, kita mengetahui bahawa Adam diciptakan untuk menjadi khalifah di bumi. Adam diciptakan di Syurga sedangkan Allah maha mengetahui akan dosa yang bakal dilakukan oleh Adam sejak azali. Mengapa Adam tidak terus diciptakan di bumi sebaliknya diperintahkan turun ke bumi? sedangkan Adam memang diciptakan untuk bumi?
Allah mendidik Adam sebagai persiapan untuk kehidupan di bumi. Memperkenalkan musuhnya (syaitan), memperkenalkan tipu daya yang bakal dihadapinya di bumi, memberikan pengalaman tentang akibat dari sesuatu perbuatan, mengajarnya erti penyesalan, sebagai latihan menghadapi kesesatan, serta cara-cara membentengi diri dari kesesatan tersebut dan juga memohon keampunan dan perlindungan kepada kuasa yang Maha Besar.Begitulah Qada' dan Qadar Allah yang penuh rahmat. Allah memberikan yang terbaik untuk hambanya yang beriman. Sebagaimana takdir Muhammad Rasulullah mengembala kambing memupuk sifat sabar sebagai persediaan memimpin ummah. Janganlah sekali2 menyalahkan takdir diatas perkara2 yang buruk yang berlaku keatas kita kerana Allah lebih mengetahui.
2) Iblis meggoda Adam dan Hawa dengan cubaan mendedahkan aurat mereka yang sebelum ini terlindung dan tidak diketahui oleh mereka berdua.
Firman Allah:
Al-Araf
Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) dia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil dia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga). (20)
Kemudian, dengan sifat Ar Rahman, Allah memberikan peringatan kepada semua umat manusia, bukan hanya kepada umat islam
Al-Araf
Hai anak Adam (manusia), janganlah sekali-kali kamu ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga. Ia menanggalkan dari kedua-duanya pakaian untuk memperlihatkan aurat masing-masing. (27)
Iblis membuang perasaan malu dari dalam diri mereka, kerana perasaan inilah yang menjadi penghalang kepada kemaksiatan. Apabila hilang perasaan malu , nafsu yang mengawal diri tanpa memperdulikan apa disekeliling. nafsu dan kebenaran adalah saling bertolakan.
seperti kata Ali RA: "Yang aku paling takutkan menimpa kamu adalah: Panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang kebenaran."
3) Doa taubat Nabi Adam:
Al-Araf
Mereka berdua merayu: Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi. (23)
4) Kerana sifat takabbur, Iblis yang tahu (berilmu), menyaksikan kekuasaan Allah, dan tinggal di syurga dilaknat Allah.Betapa sombongnya Iblis meskipun dia mengakui keEsaan Allah dan mengetahui balasan yang bakal diterimanya iaitu neraka. Dia memohon tangguh kepada Allah semata-mata mahu memuaskan dendamnya kepada insan yang tidak pernah memusuhinya sebelum ini.
Al-Araf
Beri tangguhlah saya sampai waktu mereka dibangkitkan (14)
Kerana sifat tergesa-gesa, dia menurut perasaan marahnya sehingga tidak berfikir panjang akan akibat yang bakal dihadapinya pada masa hadapan . Iblis yang gopoh menentang perintah sujud kepada Adam hanya memuaskan matlamat jangka pendeknya sahaja iaitu meluahkan rasa marahnya kepada Allah. Amalannya selama ini seperti kebun tamar yang dijilat api.
Firman Allah:
Al-Baqarah
Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, dia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang dia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar). (266)
Demikianlah serba sedikit pelajaran yang dapat saya kongsikan di sini sebagai pengajaran untuk kita bersama, setakat yang telah saya pelajari dan termampu oleh akal saya yang hina ini. Sebahagian besarnya adalah susunan Syeikh Abdul Hamid Al-Bilali didalam kitabnya “Al-Bayan fi Madakhil Asy-syaitan” atau terjemahannya "membongkar rahsia syaitan". Semoga beliau dirahmati Allah atas peringatan-peringatan yang diberikan. Amin. Sebenarnya banyak lagi pelajaran yang ada di dalam Kalam Allah dan Sunnah Rasul kerana ilmu Allah itu sungguh luas.Apa yang baik itu adalah dari Allah dan saya memohon perlindungan Allah dari fitnah2 syaitan. Semoga Allah memberi rahmat kepada orang yang menunjukkan kesalahan dan kekuranganku. Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan